JellyPages.com

Friday, January 27, 2012

Mulianya Akhlakmu

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM W.B.T

Salam sejahtera kepada pembaca yang dirahmati Allah, moga sentiasa sihat walafiat hendaknya. Kali ini saya nak berkongsi serba sedikit tentang akhlak seorang hamba Allah yang amat saya kagumi. Harap kita sama-sama dapat berfikir dan muhasabah diri kita. Ikuti kisah ini..

Dia, seorang anak muda yang cekal dan mempunyai pegangan hidup yang jelas dan kuat. Perasaan cinta akan ilmu Allah amat menebal dalam dirinya. Niat untuk bermusafir mencari ilmu telah diluahkan kepada bapanya, tetapi dia diuji apabila bapanya menghalangnya pergi jauh. Walaubagaimanapun dia tidak berputus asa. Sajak yang lama tertulis di jiwa akan cintanya ilmu Allah telah di luahkan sepenuh jiwa, tanpa dia sedari, luahan itu telah didengari oleh bapanya yang sedang bersiap sedia untuk menoreh getah. Bapanya kembali naik ke atas rumah, dengan izin Allah,bapanya merelakan dia pergi bermusafir menuntut ilmu agama. Dengan penuh kesyukuran serta berbekalkan semangat jihad fi sabilillah yang tinggi dia memulakan langkah..musafir mendalami ilmu Allah.

Berbelas tahun dia di negeri orang, berbagai pekerjaan dilakukan bagi menyara hidup. Dia dikenali sebagai pakar membaiki jam, jam tangan, jam dinding, digital, semua telah ditelitinya. Perasaan rindu akan kampung halaman disematkan baik-baik di dalam jiwa, dia tekad meneruskan pengajiannya di Universiti Al- Azhar, Kaherah. Sekali melangkah, berpantang undur, Dia musafir dari satu tempat ke satu tempat, menuntut ilmu dengan para ulama'. Semakin dia mendalami ilmu agama, semakin teguh cintanya kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Pernah suatu ketika, sedang dia tidur, dia termimpikan kehadiran Rasulullah s.a.w datang mencium penanya. Mimpi ini telah hadir beberapa hari sebelum menjelangnya peperiksaan. Selawat dan salam ke atas nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Berkat doa dan kesabaran, dia telah berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang Usuluddin. Dia pulang menemui keluarga tercinta membawa sinaran syiar Islam. Ilmu yang dituntut disebarkan kepada umat manusia tanpa mengira darjat, pangkat atau ganjaran dunia. Murah hati dan ikhlas adalah akhlaknya. Seorang yang suka tersenyum dan peramah itu amalnya. Dia juga menyayangi kanak-kanak, jika berjumpa dengan mereka, pasti dia berhenti serta memberikan salam. Adakalanya dari jauh lagi kanak-kanak akan mengangkat tangan dan memberikan salam kepadanya "Assalamulaikum Atuk!" . Pernah satu malam, seorang kanak-kanak telah keciciran wang di jalanan, dia menghulurkan lampu picit agar permudahkan kanak-kanak itu melihat, tetapi wang itu masih tidak dijumpai. Dia telah menghulurkan RM 10 kepada kanak-kanak tersebut agar dapat berkongsi sedikit wangnya sedangkan dia sedang kesempitan wang ketika itu. Kejadian ini berlaku beberapa minggu sebelum dia dijemput Ilahi. Di kitabnya juga ada tertulis tulisan tangannya "Sedekah jariah akan menerangi kubur kita di sana".

Tanggal 15 julai 2011, sekitar jam 6 pagi hari jumaat, dia bangun dari tidur, badannya terasa gatal-gatal sehingga membuatkan badannya lemah longlai. Adik iparnya telah bergegas menghantarnya ke klinik sebelum dia di masukkan ke hospital besar Tuanku Jaafar. Isteri tercinta berada disisi setia menemaninya. Selang beberapa jam, dia kembali pulih sedikit, ahli keluarga datang menjenguk, sempat berborak dengannya. Keesokan hari, pada waktu siang, dia sempat membacakan surah Yaasin bagi seorang yang telah lama koma terlantar di depan katilnya. Bacaan ayat-ayat suci Al-quran juga dibacakan untuk seorang remaja lelaki yang sedang sakit berdekatan katilnya. Tibanya waktu malam, kesakitan datang kembali. Perutnya terasa amat sakit sekali, hanya Allah yang mengetahuinya. Kalimah Allah tidak pernah putus di bibirnya. Allahhu Akbar!

Setiap yang bernafas pasti akan merasai mati, masanya telah tiba, tidak awal sesaat, tidak pula lambat sesaat..Dia dijemput Ilahi..sudah tertulis di loh mahfus, tiada sesiapa dapat menafikannya. Pengurusan jenazahnya terasa begitu mudah, lancar sekali. Ramai yang terkejut dan sedih dengan pemergiannya walaubagaimanapun mereka redha. Jenazahnya yang kelihatan tersenyum, seakan-akan dia sedang tidur dengan tenang, tubuhnya kelihatan lebih sihat daripada biasa. Dia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mantin Dalam. Sedang talqin dibacakan, seorang kanak-kanak terkejut melihat kilauan cahaya keluar dari kuburnya. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Al-Fatihah buat Allahyarham..
Moga Rohnya tenang di sana..
Di tempatkan bersama para solihin..
Amin..amin ya rabbal alamin







No comments:

Post a Comment